Nora tarik balik saman terhadap Fasha

KEMELUT persengketaan antara Nora Danish dan Fasha Sandha menemui noktah selepas kedua-dua pelakon popular itu bersetuju untuk menyelesaikan pertikaian saman fitnah antara mereka secara baik di luar mahkamah.

Nora bersetuju untuk menarik balik saman fitnah yang dikemukakan beliau dan syarikatnya terhadap Fasha bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM20 juta selepas Fasha mengemukakan permohonan maaf di Mahkamah Tinggi Shah Alam di hadapan Hakim M Gunalan pada 22 Mei lalu.

Peguam Datuk David Gurupatham mewakili Nora ketika dihubungi berkata, anak guamnya sehubungan itu menarik balik saman berkenaan dan hakim Gunalan kemudian merekodkan penghakiman persetujuan berhubung penyelesaian kes, dalam kamar hakim.

Beliau berkata, Fasha turut membuat aku janji untuk tidak menyiarkan kenyataan fitnah sama pada masa hadapan.

Sementara itu, dalam kenyataan dipersetujui yang dibacakan di mahkamah, Fasha berkata, beliau memohon maaf kerana menyiarkan kiriman yang menjadi subjek dalam kes tuntutan saman itu di laman Instagram miliknya pada 18 Ogos 2017.

Fasha berkata, ia adalah kerana posting itu didakwa memberi impak negatif terhadap reputasi Nora dan syarikatnya Danish Empire Sdn Bhd serta jenamanya OwlbyND.

“Walaupun saya tidak meletakkan nama sesiapa pun, saya percaya ramai beranggapan posting terbabit ditujukan kepada beliau.

“Saya kesal dengan apa yang terjadi dan selanjutnya memberi aku janji bahawa saya tidak lagi membuat penyiaran yang disifatkan memburukkan imej Nora, Danish Empire, OwlbyND dan keluarga terdekat Nora,” katanya.

Dalam prosiding itu, Fasha diwakili peguam Azmi Mohd Rais dan Nizam Bashir.

Nora dalam kenyataan medianya berkata, beliau dan syarikatnya menentang Fasha bagi tindakan fitnah untuk tuntutan antara lain RM10 juta bagi setiap plaintif.

Beliau berkata, pada 22 Mei lalu, beliau menerima permohonan maaf yang direkodkan di mahkamah bersama aku janji untuk tidak lagi membuat pernyataan fitnah terhadap diri, syarikatnya dan keluarga.

“Semua pihak sudah menyelesaikan perkara ini seperti tertera dalam penghakiman persetujuan di mahkamah.

“Sempena bulan mulia ini, saya memutuskan untuk membiarkan perkara ini berakhir seperti itu,” katanya.

Sebelum ini

Nora Danish berharap pihak Fasha Sandha dapat memenuhi segala ‘aku janji’ yang difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam membabitkan luahan hati pelakon itu di Instagram miliknya mengenai insiden ‘halau’ pada satu majlis pertunjukan fesyen, tahun lalu.

Nora menerusi kenyataan di Instagram berkata, perkara itu berakhir atas budi bicara dirinya bersama peguam selepas memfailkan saman fitnah terhadap Fasha, tahun lalu.

“€œAlhamdulillah, selepas setahun kes ini berjalan semuanya berakhir atas budi bicara saya dan pihak guaman saya mengenai kes saman fitnah yang difailkan atas beliau (Fasha) tahun lalu.

“Saya menaruh harapan sangat tinggi terhadap ‘aku janji’ daripada pihak Fasha yang difailkan di mahkamah akan menjadi nokhtah buat semuanya,” katanya.

Nora berkata, saling bermaafan adalah amalan baik dan dimuliakan.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada barisan guaman diketuai Datuk David Garuptham, Datin Satwant Kaur dan Audrey Joyse Nelson kerana berjaya memperoleh keputusan ini,” tulisnya.

Terdahulu, Fasha menerusi laporan akhbar ini mengakui dia bersama Nora ada mengunjungi pejabat Mediasi di Mahkamah Shah Alam, pada 22 Mei lalu dalam usaha untuk berdamai.

Menerusi laporan sama, Fasha berkata kenyataan yang dimuat naik Fasha itu didakwa mengguris perasaan Nora.

Menurut Fasha, persengketaan yang timbul sangat tidak sihat untuk anak-anak yang sedang membesar. Apatah lagi Rayfal, Rayqal dan Jemaima sangat rapat disebabkan ayah mereka, Rizal Ashram Ramli.

Sumber : hmetro