Gara-gara berkahwin dengan lelaki anak mak, 7 tahun aku merana hidup dengan mentua dari neraka

Akhirnya hari ini, Jumaat, 13 April 2018, selepas 7 tahun berkahwin, saya diceraikan dengan talak tiga dan ini lah hari paling bahagia buat saya. 7 tahun bukan tempoh masa yang sekejap, tapi sebenarnya tak cukup untuk perempuan selemah saya.

Sebelum kahwin, suami dan keluarga mertua sangat baik. Ketika bertunang, saya mula nampak sikit-sikit sikap keluarga suami yang tidak menyenangkan tetapi saya ambil positif, saya anggap tiada pun manusia yang sempurna, jadi bersabarlah. Namun, semakin dekat tarikh perkahwinan, semakin ketara sikap mengawal anak yang ditunjukkan oleh mertua saya, tetapi saya masih positif sebab ibu bapa mana tidak sayangkan anak, jadi bersabarlah.

Selepas ujian demi ujian, saya senyum dan beritahu diri sendiri, bersabarlah. Seminggu selepas mendirikan rumah tangga, keluarga mertua sudah rancang mahu buat hari keluarga. Saya okay saja, namun tidak sangka pada hari mahu berlangsung, ayah saya dimasukkan ke wad. Saya minta suami hantar, tapi mertua saya cakap kakak-kakak awak kan ada. Awak duduk sini sambut hari keluarga, biar mereka yang lain pergi hospital. Suami setuju dengan ibu bapanya. Saya mengalah, malam itu ayah saya meninggal dunia. Yup, saya bodoh.

Tahun kedua perkahwinan, alhamdulillah kami dikurniakan bayi lelaki. Puasa hari ke-28, kami bersiap mahu pulang ke kampung suami (setiap tahun raya pertama wajib di rumah ibu bapanya), ibu saya diserang strok. Saya tidak mahu ulang kebodohan lalu dan saya bertegas untuk hantar ibu saya ke klinik dan menjaganya. Tetapi suami masih dengan alasan adik beradik awak yang lain boleh jaga. Saya berkeras, dan itulah kali pertama tangannya naik ke muka saya. Akhirnya saya mengalah kerana takut. Sebulan lebih selepas itu ibu saya pula meninggal dunia dan adik beradik memulaukan saya atas tindakan saya yang mengikut suami dan keluarganya sepanjang masa. Masih saya diam. Yup, saya bodoh.

Pada Januari 2014, usia anak kami 2 tahun, adik suami saya berkahwin dengan wanita pilihannya, lulusan ijazah kejuruteraan, bermulalah episod telinga saya berdarah dengan segala macam cemuhan, sindiran dan perbandingan. Menantu baru diangkat setinggi tingginya. Saya yang lulusan STPM hanya tersenyum sambil mendukung anak, tiap kali dibandingkan dari segi akademik. Saya masih sabar dan menganggap mereka masih keluarga suami yang mesti dihormati. Yup, saya bodoh.

2015, saya memohon melanjutkan ijazah di UiTM Shah Alam, secara jarak jauh. Kelas hanya pada hari minggu. Alhamdulillah, permohonan berjaya. Suami agak keberatan dan meminta saya bertanya pada ibunya. Di dalam hati saya terdetik, apa kena mengena ibunya dengan saya mahu melanjutkan pelajaran dan bila suami lihat saya seperti berat mengikut katanya, dia sendiri hubungi ibunya, membuat loud speaker dan meminta pendapat. Jelas dan terang ayat ibunya, “Hai, nak bersaing tahap akademik dengan biras ke?” Saya tetap berkeras. Walau saya takut-takut ditampar lagi, dikongkong lagi, saya juga takut sekiranya diceraikan kerana ibu bapa saya sudah tiada, adik beradik pula dah benci, saya hidup sebatang kara. Kawan kawan juga dah renggang selepas saya berkahwin. Akhirnya suami beri kata putus, “kalau awak nak sangat, yuran bayar sendiri.” saya akur.

Bermulalah kehidupan saya sebagai pelajar, pekerja, isteri, ibu, dan menantu. Walaupun anak saya baru berusia 3 tahun lebih waktu itu, dia seperti mengerti kesibukan saya. Amar anak yang baik dan tak buat perangai sangat. Pada waktu saya rasa satu dunia menentang saya, saya lihat wajah Amar dan saya tenang. Saya masih ada Amar, satu satunya manusia di dunia yang masih sayangkan saya dan hormati saya. Berulang alik ke Shah Alam menaiki bas, terpaksa bayar lebih kepada pengasuh kerana hantar Amar bukan pada hari bekerja, yuran belajar, tiket pergi balik, semuanya duit saya. Saya gagahkan diri. Saya kuatkan diri bukan untuk masa depan saya, tetapi demi masa depan Amar.

Tahun 2016, terdengar ura-ura suami saya nak kahwin lagi satu. Saya tersentak, tapi saya pegang pada prinsip, selagi bukan dari mulutnya, maka saya akan abaikan. Sampailah satu malam selepas tidurkan Amar, saya sedang menyiapkan assignment, dan suami cakap nak berbincang. Saya dapat rasa jantung saya berdegup sangat laju, tangan saya yang pegang pen terasa berpeluh dan menggeletar. Dan ya, dia beritahu sedang berkawan dgn perempuan lain. Saya tanya, sejak bila. Dia beritahu sudah 1 tahun. Patutlah, dia tak kisah sangat saya ke Shah Alam, rupanya dia pun boleh dating dengan perempuan itu kerana Amar di rumah pengasuh. Tapi dia menyambung ayat “Awak jgn risau, saya belum nak kahwin dgn dia. Kami hanya berkawan. Kalau nak kahwin pun saya tak perlu minta izin awak. Tp sy ni lelaki yg berani, jadi saya jujurlah dgn awak” Mendengar ayat ini, saya senyum dan tanya, “habis bila abg nk kawin dgn dia?” Dia jawab, “tahun depan?” Saya angguk. Saya kemaskan buku dan laptop, dan masuk tidur.

Pada jam 4 pagi, saya terjaga. Suami nyenyak tidur. Saya bangun dan solat sunat. Saya ke bilik sebelah dan tengok Amar. Saya peluk Amar dan menangis sepuas puasnya sehingga Amar terjaga tapi masih mamai. Satu ayat keluar dari mulut Amar yg mengubah hidup saya. Amar, anak yg baru berusia 4 tahun itu, dalam keadaan mamai, berkata pada saya: “Mak, Amar tak suka Babah.” Dan dia sambung tidur. Selepas itu saya renung wajah Amar. Entah apa jadi pada saya malam itu, saya rasa saya bukan lagi perempuan yg sama. Saya rasa satu perubahan di hati saya. Di bilik Amar, sehingga ke subuh saya menimbang tara, menyusun hidup, dan membuat pilihan. Akhirnya saya nekad dengan satu keputusan terbesar dalam hidup.

Esoknya saya ke tempat kerja, saya tanya pada rakan sepejabat, ada tak apa2 kerja part time yg boleh sy buat di rumah. Dia kata boleh kalau tolong isikan borang poslaju (dia berniaga online) dan saya bersetuju. Memang bayaran sikit, tp dalam sebulan, lepas untuk keperluan susu Amar (update: suami tak pernah hulur nafkah keperluan saya dan Amar kerana dia tahu saya bekerja , melainkan bil2 rumah, barang nak masak dan sewa rumah, kerana ibunya kata adik adiknya ada yg bersekolah, jadi dia yg sulung mesti bantu.)

Saya mula pergi kelas tiap2 minggu, sebelum itu saya pergi selang dua minggu, saya ambil subjek sehingga maximum credit hours, saya crampkan jadual saya sehabis habisnya, kerana saya nk cepat habis belajar. Saya buat kerja part time itu ini. Saya menyimpan di tabung haji. Sampai lah badan saya yg agak gempal beransur kurus. Suami masih mabuk bercinta, tapi tak apa. Misi terulung saya harus dilaksanakan.

Dengan duit simpanan, saya keluarkan RM3800, saya beli kereta kancil 2nd hand. Suami tanya kereta siapa, saya jawab sayalah. Dia tanya kenapa beli, saya cakap mudah ke kelas, abg tanak hantarkan saya, saya pun letih naik bas, saya belilah. Dia mungkin rasa tercabar (sbb saya tak pernah buat keputusan sndri tanpa tanya dia) lalu menendang sikit tayar kereta saya sambil berkata “kancil je pun.. besi buruk atas highway”. Tak apa, saya senyum. Fokus pada misi…misi..misi…

Di tempat kerja, saya tanya ada tak yg nak sewakan bilik. Alhamdulillah, ada sorang staff baru, dia nak sewakan bilik tapi dia pelik, utk siapa sbb saya dah berkahwin. Jadi saya jawab, kalau saya dan anak saya, cuma utk sementara, boleh? Dia okay.

Setiap malam, saya mengira bajet. Saya mencongak, menyusun masa depan. Badan semakin susut. Baju baju zaman bujang semua boleh pakai balik.

Akhirnya, November 2017, Amar berusia 5 tahun, saya dikejutkan berita suami ditangkap khalwat. Saya masih senyum, keluarga suami sangat mempercayai bahawa dia dianiaya. Dan mereka menerima perempuan itu jika mahu berkahwin kerana perempuan itu seorang eksekutif yg bergaji besar. Ibu mertua siap berkata “kena redha lah dimadukan. org suruh jaga suami, pulun nak sambung belajar.” Saya senyum. Fikirkan misi…misi…misi….

December 2017 mereka dikahwinkan. Saya waktu itu sibuk dengan persediaan final exam UiTM yg akan berlangsung Januari 2018. Selepas berkahwin baru, suami memang makin tak ambil tahu hal saya dan Amar. Tak apa, bila dia tak ada dirumah, saya senang menguruskan kerja part time dan Amar. Selesai peperiksaan akhir, suami ajak saya tinggal bersama dengan madu dirumah madu. Kerana dia dah tak mampu bayar sewa rumah yg diduduki saya waktu itu. Saya menolak dgn baik dan dia kata ” kau pandai2 cari rumah lain, aku takkan bayar sewa rumah ni dah. duit depo pun aku akan dpt bulan depan. barang2 perabot aku nk pindahkan kt umah madu kau esok”. Saya hanya menjawab, “OK.” Malam itu, saya kemas baju2 dan barang keperluan yg penting utk saya dan Amar. Dia tanya nak kemana hoi? Saya jawab, ke rumah sewa baru. Dia dengan mata terbeliak, berkata “kau keluar dari rumah ni malam ni, jatuh talak tiga” Saya dengan senyuman yg sangat bangga, mengambil barang2, Amar, dan kunci kereta. Saya terus ke rumah yg saya nak sewa bilik dengan rakan sekerja tu.

Selepas itu bertalu2 whatsapp masuk handphone saya;

“Hoi, mana rak dalam bilik?”
“Perempuan setan, kau ambil iron dan iron board?”
“Betina, knp barang rumah banyak yg tak ada?”

Saya jawab dengan balasan ringkas, “Saya ambil semua yg saya beli dengan duit sendiri, jumpa di mahkamah.”

Sebenarnya sepanjang dia mabuk bercinta, saya persiapkan diri utk berdikari. Saya beranikan diri memandu jauh. Saya tawakkal beli kereta 2nd hand( alhamdulillah kancil tu terbaik hahahahaha), dan lepas dia kawin baru dan jarang balik tu, saya pindahkan sikit2 perabot dgn bantuan rakan pejabat.

Hari ini, selesailah urusan mahkamah selepas dua bulan lebih talak tiga dijatuhkan di rumah itu. Saya akhirnya seorang janda tapi saya janda yg sangat bahagia. Saya dah bersedia menjadi janda, physically and mentally. Financially too

Sekarang saya nak tumpu pada Amar, dan nak cari balik adik beradik dan kawan2 dulu yg saya tinggalkan utk minta maaf atas kebodohan saya. doakan saya ya.

Sumber ; IIUMC