[Video] “Saya Buat Semua Ni Untuk Mak Ayah…” -Gadis Cantik Pegawai Keselamatan Tular, Siapa Sangka Perjalanan Remaja 19 Tahun Ini Penuh Liku, Sayu!

Beberapa hari yang lalu viral beberapa gambar seorang wanita cantik berpakaian pegawai keselamatan sehingga menerima reaksi positif daripada netizen. Rata-rata kagum dan memuji gadis berkenaan kerana tidak memilih kerja, tetapi ada juga yang turut mengecam.

Yuni, atau nama penuhnya Sri Mahyuni Munif dalam temubual bersama Harian Metro memberitahu bahawa dia memilih pekerjaan berkenaan kerana sukakan kanak-kanak.

“Saya tak kisah orang pandang rendah atau mengata kerja saya kelas bawahan. Asalkan saya buat kerja halal untuk menampung keluarga,” katanya.

Walaupun di usia 19 tahun, rata-rata hairan mengapa gadis ini memilih untuk kerja sedangkan remaja lain di usianya sedang sibuk bergelut dengan alam universiti.

Rupanya dia terpaksa terpaksa berhenti sekolah kerana bapanya mengalami masalah kesihatan.

“Ayah pernah kemalangan kira-kira 20 tahun yang lalu dan kesan dari kemalangan itu lebih buruk selepas dia bekerja sebagai buruh binaan menyebabkan tulang dan badannya sakit-sakit sehingga tidak lagi berdaya mengangkat barang berat.

Saya meminta ayah berehat dan saya sanggup berhenti sekolah untuk bekerja demi meneruskan persekolahan adik dan menyara keluarga selain membantu ibu yang bekerja sebagai pembantu kedai makan.

Biarpun ayah berkeras meminta saya jangan berhenti sekolah, saya terpaksa melakukannya kerana tidak sanggup melihat ayah bekerja dalam kesakitan demi mencari sesuap nasi untuk keluarga,” ceritanya lagi.

Walaupun menerima pelbagai kritikan negatif sejak gambarnya tular, Yuni memberitahu bahawa dia menerima segala tohmahan dengan hati terbuka.

“Saya tidak kisah apa yang orang nak kata kerana mereka tidak tahu apa yang berlaku dan saya jadikan kata-kata itu sebagai semangat untuk saya terus kuat menjadi seorang pekerja yang lebih bermotivasi. Ada yang cakap kononnya saya pinjam baju ibu atau kawan dan menunjuk-nunjuk kepada netizen, tetapi saya hanya mampu senyum.

Saya ambil pandangan yang bersih-bersih sahaja, yang buruk-buruk saya tak nak fikir kerana bimbang memberi kesan kepada diri sendiri,” katanya yang masih belum berpunya.

Difahamkan gambar Yuni tular selepas rakan sejawatannya di sekolah Kampung Datuk Keramat memuat naik gambar berkenaan di laman Facebooknya.

Sumber Harian Metro